11 July 2011

Gambar Mendiang Ibu Jadi Semangat Pang Chinn Fei



Pang sering membawa gambar mendiang ibunya ke mana sahaja di pergi.
PETALING JAYA: Personaliti TV3, Pang Chinn Fei mengakui sering bercakap dengan gambar ibunya apabila berhadapan dengan sesuatu masalah.
Jelas Fei, selepas kematian ibunya pada tahun 2007, dia sering membawa gambar berukuran pasport milik mendiang ibunya kemana sahaja.
"Saya sangat rapat dengan ibu, dia banyak mendengar masalah saya dan cuba menyelesaikannya. Ketika saya mula menjadi penyampai berita dialah yang jadi pengkritik dan penasihat saya.
"Kini saya hanya boleh bercakap dengan gambar dia yang saya bawa kemana-mana sahaja, biarpun saya hanya bercakap dengan gambar tapi saya dapat rasakan dia mendengar apa yang saya katakan," ujarnya sambil berlinangan air mata.
Selain itu, kata Fei, sebelum meninggal dunia ibu sempat memberikan kad ucapan untuk hari jadinya yang ke 27.
"Kad ucapan tersebut lain dari setiap tahun yang dia beri, banyak pesanan yang dituliskan dalam kad tersebut.
"Antara pesanan yang saya jadikan panduan ialah dia meminta agar saya berfikir dahulu sebelum bercakap kerana tidak mahu orang yang mendengar akan terasa apa yang kita katakan," katanya.
Bercerita tentang kerjaya, pembaca berita TV3 ini menganggap peluang tersebut merupakan satu bonus dalam kerjayanya sebagai wartawan penyiaran.
Kad harijadi dan gambar mendiang ibunya menjadi sumber inspirasi Fei
Namun dia puas apabila berpeluang mewakili seluruh masyarakat bagi menyuarakan soalan dan pendapat kepada pihak tertentu melalui peranannya sebagai wartawan.
“Sebagai seorang wartawan kita berperanan sebagai medium untuk menyalurkan maklumat kepada masyarakat dan kita juga mewakili masyarakat untuk bertanyakan tentang sesuatu isu.
“Bagi saya kerjaya ini sangat menyeronokkan dn memberi kepuasan kepada saya. Apabila saya menjadi penyampai berita saya lebih memahami apa yang cuba saya sampaikan berbanding hanya sekadar membaca,” katanya.
Bagaimanapun, kerjaya sebagai wartawan penyiaran yang dikenali masyarakat membuatkan dia melalui pelbagai pengalaman seperti sering diusir atau menerima ugutan apabila berada di sesebuah majlis yang dianjurkan pihak tertentu.
“Susah juga apabila dikenali, mereka tahu kita dari mana ada juga yang menghalang saya dari membuat liputan.
“Terutamanya ketika pilihan raya kecil, sehinggakan ada berlaku pertelingkahan dan ugutan yang kami terima daripada pihak-pihak yang tidak menyenangi kehadiran kami.
“Namun bagi saya itu adalah cabaran dan kita hanya menjalankan tugas kita sahaja,” ujarnya.
Kata Fei, setiap pekerjaan mempunyai cabaran tersendiri dan apa yang lebih penting bagaimana untuk mengatasinya.
Selain itu, ibu kepada tiga cahaya mata ini, tidak lepas daripada menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.
Fei berkata, memandangkan tugas wartawan yang tidak menentu, dia perlu bijak membahagiakan masa bersama keluarga seadil-adilnya.
“Cuti saya tidak menentu, kerja pula sampai lewat malam. Jadi masa cuti kebiasaannya saya manfaatkan sepenuhnya bersama keluarga sahaja,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...